Al-Habib Anis bin Alwi bin Ali Alhabsyi
Al-Habib Anis bin Alwi bin Ali Alhabsyi
Tokoh ulama yang khumul lagi wara`, pemuka dan sesepuh habaib yang dihormati, Habib Anis bin Alwi bin Ali bin
Muhammad
bin Husain al-Habsyi rahimahumullah telah kembali menemui Allah s.w.t.
kelmarin 14 Syawwal 1427 H bersamaan 6 November 2006 dalam usia
kira-kira 78 tahun. Habib Anis sewaktu hayatnya sentiasa mengabdikan
dirinya untuk berdakwah menyebarkan ilmu dan menyeru umat kepada
mencintai Junjungan Nabi s.a.w. Beliau menjalankan dakwahnya berdasarkan
kepada ilmu dan amal taqwa, dengan menganjurkan dan mengadakan
majlis-majlis ta’lim dan juga majlis-majlis mawlid, dalam rangka
menumbuhkan mahabbah umat kepada Junjungan Nabi s.a.w. Selain berdakwah
keliling kota, sehingga muridnya menjangkau puluhan ribu orang di
merata-rata tempat. beliau memusatkan kegiatan dakwah dan ta’limnya di
masjid yang didirikan oleh ayahanda beliau, al-Habib Alwi bin ‘Ali
al-Habsyi, yang dikenali sebagai Masjid ar-Riyadh, Gurawan, Pasar
Kliwon, Solo (Surakarta),
Jawa Tengah.
Dalam majlis-majlis ilmu yang lebih dikenali sebagai rohah, dibacakan
kitab-kitab ulama salafus sholeh terdahulu termasuklah kitab-kitab
hadits seperti “Jami`ush Shohih” karya Imam al-Bukhari, bahkan pengajian
kitab Imam al-Bukhari dijadikan sebagai wiridan di mana setiap tahun
dalam bulan Rajab diadakan Khatmil Bukhari, iaitu khatam pengajian kitab
“Jami` ash-Shohih” tersebut. Setiap malam Jumaat
pula
diadakan majlis mawlid dengan pembacaan kitab mawlid “Simthuth Durar”
karya nenda beliau yang mulia al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi.
Manakala setiap malam Jumaat Legi diadakan satu majlis taklim dan mawlid
dalam skala besar dengan dihadiri ramai masyarakat awam dari pelbagai
tempat yang terkenal dengan Pengajian
Legian,
di mana mawlid diperdengarkan dan tausyiah-tausyiah disampaikan kepada
umat. Peringatan mawlid tahunan di bulan Rabi`ul Awwal dan haul
Imam Ali
al-Habsyi disambut secara besar-besaran yang dihadiri puluhan ribu umat
dan dipenuhi berbagai acara ilmu dan amal taqwa. Sesungguhnya majlis
para habaib tidak pernah sunyi dari ilmu dan tadzkirah yang membawa umat
kepada ingatkan Allah, ingatkan Rasulullah dan ingatkan akhirat, yang
disampaikan dengan penuh ramah – tamah dan bukannya marah-marah. Habib
Anis terkenal bukan sahaja kerana ilmu dan amalnya, tetapi juga kerana
akhlaknya yang tinggi, lemah lembut dan mulia. Air mukanya jernih,
wajahnya berseri-seri dan sentiasa kelihatan ceria. Kebanyakan yang
menghadiri majlis-majlis beliau adalah kalangan massa yang dhoif, dan
kepada mereka-mereka ini Habib Anis memberikan perhatian yang khusus dan
istimewa. Kemurahan hatinya kepada golongan ini sukar ditandingi
menjadikan beliau dihormati dan disegani ramai. Sungguh tangan beliau
sentiasa di atas dengan memberi, tidak sekali-kali beliau jadikan
tangannya di bawah meminta-minta. Inilah antara ketinggian akhlak Habib
Anis al-Habsyi rhm. Sungguh kemuliaannya bukanlah semata-mata faktor
keturunannya yang umpama bintang bergemerlapan, tapi juga kerana
ilmunya, taqwanya, waraknya dan akhlaknya yang mencontohi akhlak para
leluhurnya terdahulu. Para leluhurnya yang terkenal dengan ketinggian
akhlak mereka sehingga telah menawan hati segala rumpun Melayu rantau
sini untuk memeluk agama Islam yang mulia.
Sedih dan pilu rasa hati, seorang demi seorang ulama kita kembali ke
hadhrat Ilahi. Khuatir kita jika tiada pengganti mereka, yang meneruskan
usaha mereka untuk menyeru kepada Allah dan rasulNya. Bermohon kita
kepada Allah dengan sebenar-benar dan setulus-tulus permohonan, agar
yang patah tumbuh, yang hilang berganti. Kita sentiasa memerlukan
bimbingan berkesinambungan daripada para ulama dan daie yang mukhlisin
lagi berakhlak mulia, agar kejahilan dan keruntuhan akhlak tidak
berleluasa. Hari ini selesailah permakaman beliau di Kota Solo di
kompleks makam Masjid ar-
Riyadh
di sisi ayahandanya al-Habib Alwi bin Ali al-Habsyi. Kami ucapkan
selamat jalan kepada Habib yang dikasihi. Mudah-mudahan musibah
ketidaksampaian kami menziarahinya sebelum kewafatannya diberi ganjaran
oleh Allah dengan kesudianNya menghimpunkan kami besertanya di syurga
penuh keni’matan di samping nendanya yang mulia Junjungan Nabi s.a.w.
Selamat jalan, ya Habibna
Kuharap nanti di sana kita kan bisa kumpul semula
Di tempat lebih santai, lebih nyaman, lebih mulia
Berbanding dunia yang penuh pancaroba
Ya Habibna,
Pemergianmu menyayat hati setiap muhibbin merasa
Pemergianmu dalam suasana kami masih perlukan bapa
Yang nasihatnya menusuk sanubari dan masuk kepala
Tapi tiada siapa dapat menolak ketentuan Yang Maha Esa
Ya Habibna
Musibah ini kami terima dengan redha
Semoga musibah kami
atas kehilanganmu diberi pahala
Diberi ganjaran apa yang kami damba
Berkumpul bersamamu di Jannatul Firdaus al-A’la
Bi jiwari an-Nabiyyil Mukhtar al- Musthofa
Ya Habibna,
Pemergianmu kami iringi doa
Agar kasih sayang Allah buatmu sepanjang masa
Dicurahkan persemayamanmu hujan rahmat tiap ketika
Ditinggikan darjat serta diberi sinar cahaya
Kesunyianmu dihilangkan dan kebajikanmu diganda
Bagi kami dan bagimu perlindungan Allah sentiasa
Diselubungi kedamaian penjagaanNya yang sempurna
Selamat jalan, ya Habibna
Damailah dikau di sana
Jangan lupakan kami para muhibbin yang masih di dunia
Doakan agar kami menuruti ajaran nendamu yang mulia
Biar kami mati membawa iman, ketaatan dan kasih cinta
Pada Allah, pada Rasul, pada sholihin, pada agama
Selamat jalan, ya Habibna
Pemergianmu kuiringkan doa.
Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan
sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya),
dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan
(Qs al-Anbiyâ’/21:35)
SALAM SANTUN DARI SYEKHERMANIA PURWOREJO SALAM UKHUWAH FILLAH